254 PEGAWAI KADET PALAPES DARAT ZON TENGAH 1, DITAULIAH SEBAGAI PEGAWAI MUDA

BANGI, 27 Januari 2022 – Seramai 254 Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah ditauliahkan sebagai Pegawai Muda di dalam Rejimen Askar Wataniah, pada hari ini.

Kesemua Pegawai Kadet tersebut telah ditauliahkan di dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES Darat Ke-39 bagi Zon Tengah 1. Majlis yang telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain, dilangsungkan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia. Majlis pentauliahan ini menyaksikan Leftenan Muda Muhammad Amirul Farhan bin Abdul Razak dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UKM, dan Leftenan Muda Shafiq Faizullah bin Shaharuddin dianugerahkan sebagai Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UM. Turut dianugerahkan dalam majlis tersebut, Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UiTM kepada Leftenan Muda Nor Emyzan bin Mohd Yusak, Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UIAM kepada Leftenan Muda Wan Muhd Syafiq Safri bin Wan Ismail, Pegawai Kadet PALAPES Terbaik USIM kepada Lefternan Muda Afif bin Mohd Nasir dan Pegawai Kadet PALAPES Terbaik UMP dianugerahkan  kepada Leftenan Muda Mohd Nazir bin Harris.

Berikutan penularan wabak COVID-19, Istiadat Perbarisan dan Pentauliahan Diraja yang dilaksanakan setiap tahun telah dibatalkan. Oleh itu, Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet PALAPES dilaksanakan sebagai simbolik kepada Perbarisan Pentauliahan Diraja tersebut. Tan Sri PTD dalam ucapannya, berharap Pegawai Muda yang baru ditauliahkan dapat memanfaatkan segala ilmu dan kemahiran yang diperolehi sepanjang 3 tahun latihan PALAPES serta mempunyai semangat juang yang tinggi dalam menempuh setiap cabaran dalam kerjaya masing-masing kelak. Tan Sri PTD turut memberi saranan kepada Pegawai Muda yang baru ditauliahkan agar melunaskan tanggungjawab masing-masing dengan melapor diri ke Siri 500 Askar Wataniah dan terus terlibat aktif di dalam latihan-latihan ketenteraan Askar Wataniah agar pengetahuan yang telah diperolehi boleh terus dikembangkan. Selain itu, Pegawai Muda yang baru ditauliahkan turut berpeluang untuk memohon Skim Pegawai Graduan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ataupun menyertai Pasukan Kerahan  sebelum diterima masuk untuk diserapkan ke dalam Angkatan Tetap.

Majlis sebegini akan diteruskan ke zon yang terakhir iaitu Zon Utara di Universiti Sains Malaysia. Sesungguhnya, majlis pentauliahan sebegini selaras dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Keutuhan Organisasi”, yang memberikan penekanan kepada aspek pengukuhan profesionalisme, pemerkasaan jati diri dan pembudayaan integriti serta nilai etika dan moral. Tahniah diucapkan kepada semua Pegawai Muda PALAPES Darat yang telah ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Wataniah dengan pangkat Leftenan Muda.

         WhatsApp Image 2022 01 27 at 17.37.40 4WhatsApp Image 2022 01 27 at 17.37.40 1                 WhatsApp Image 2022 01 27 at 17.37.40 2WhatsApp Image 2022 01 27 at 17.37.40 6