jhr palapes wataniah

Johor, 7 Januari 2022: Seramai 88 Pegawai Kadet terlibat dalam Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat Universiti Awam Ke-39 Zon Selatan yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jen Tan Sri Datuk Zamrose Mohd Zain di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 7 Jan 2022. Pegawai Kadet yang ditauliahkan pada hari ini terdiri daripada 49 Pegawai Kadet Lelaki dan 39 Pegawai Kadet Wanita yang mana mereka telah berjaya menamatkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM). Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTM dianugerahkan kepada Lt M Umar Alfaruq Abdul Mutalib, lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam manakala Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UTHM dinobatkan kepada Lt M Amyrul Nordin yang merupakan penuntut Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Teknik dan Vokasional. Kedua-dua Pegawai Kadet Terbaik dianugerahkan Pedang Kehormat sebagai hadiah atas semangat dan kesungguhan yang telah ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES. PTD mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai kadet yang telah berjaya ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Wataniah.