Kuala Terengganu: Sidang Komander Askar Wataniah (SKAW) merupakan satu acara tahunan yang melibatkan Timbalan Panglima Tentera Darat selaku Pengerusi Sidang dan dihadiri oleh semua Komander Rejimen Siri 500 AW (16 rejimen), Komander Rejimen Pakar RAJD, Komander Rejimen Semboyan Pakar Telekom serta beberapa wakil Pegawai Kanan dari Angkatan Tetap. SKAW merupakan satu forum bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan rancangan pengambilan anggota, pengurusan latihan, pentadbiran dan pembangunan AW. Selain itu, SKAW turut bertindak selaku penasihat kepada Panglima Tentera Darat dalam setiap perihal mengenai AW.

Bagi tahun 2023, SKAW Siri 34/2023 telah dilaksanakan di negeri Terengganu di mana YAM Brig Jen Dato’ Seri Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah merangkap Komander Rejimen 512 AW telah menjadi tuan rumah kepada penganjuran SKAW kali ini.

SKAW Siri 34/2023 telah berlangsung di Dewan Senat UnisZA dan telah dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Lt Jen Dato' Tengku Muhammad Fauzi bin Tengku Ibrahim. SKAW pada kali ini dihadiri oleh seramai 10 Komander Rejimen Siri 500 dan 6 orang Pegawai Kanan Angkatan Sukarela bagi mewakili komander yang tidak dapat hadir kerana kekangan tugas masing-masing. Di antara komander yang hadir adalah, DYTM Raja Muda Perlis Brig Jen Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, DYTM Raja Muda Kedah Brig Jen Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Komander Rejimen 513 Askar Wataniah dan YAM Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah.

Dalam ucapan pembukaan SKAW, TPTD telah menekankan tentang kepentingan pembentukan satu Angkatan Sukarela Darat yang anjal, professional serta mampu melaksanakan tugas selaku benteng kedua pertahanan negara serta mampu untuk melaksanakan tugas bagi membantu ganti Angkatan Tetap apabila keadaan memerlukan. Beliau turut menekankan bahawa Rejimen Askar Wataniah akan diperkasakan sejajar dengan Perintah Ulung PAT dan PTD dalam memastikan AW menjadi satu angkatan yang Bersepadu, Tangkas dan Berfokus dalam ketumbukan satu Angkatan Masa Hadapan (AMH) ATM. Ianya memerlukan pendekatan yang lebih kreatif dan berinovatif bagi memupuk minat dan komitmen berterusan anggota wataniah untuk terus bergiat aktif dalam setiap latihan yang dirancang. Komitmen yang jitu dari Komander dan Timbalan Komander juga merupakan pemangkin bagi Askar Wataniah untuk terus berdaya saing serta dapat diandalkan apabila keadaan memerlukan.

Semua ahli SKAW juga telah diberikan pendedahan melalui ceramah mengenai konsep Kertas Putih Pertahanan, Strategi Ketahanan Negara 2.0 dan Relevensi AW dalam mendukung Konsep HANRUH dalam konteks Whole of Government dan Whole of Society (WoGoS). Ceramah ini bertujuan untuk memberikan penerangan kepada setiap komander yang hadir mengenai Konsep WoGoS serta kepentingan AW dalam aspek Pertahanan Negara.

DSC 5652DSC 5658DSC 5671DSC 5700DSC 5702DSC 5707DSC 5718DSC 5723DSC 5728DSC 5744

WhatsApp Image 2023 11 17 at 10.16.19 PMWhatsApp Image 2023 11 17 at 10.16.19 PM 2