Pekan: Perbarisan Hari Ulang Tahun (HUT) Rejimen 505 Askar Wataniah (AW) telah diadakan di Padang Kawad Markas Rejimen, Kem Force 136 pada 12 Feb 2023. Keseluruhan perbarisan telah dianggotai oleh 12 Pegawai dan 121 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) yang terdiri daripada anggota tetap dan Sukarela. Perbarisan ini diiringi oleh Platun Tambor dari Rejimen Pertama Kor Armor Diraja.

Semasa Perbarisan, Komander Rej 505 AW, Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mengambil tabik hormat. Turut hadir di dalam perbarisan ini ialah Timbalan Komander Leftenan Kolonel Azman bin Alias, Pegawai-Pegawai Memerintah dan Penolong-Penolong Pegawai Memerintah Batalion.

Komander Rej 505 AW turut berkenan untuk menyempurnakan acara menandatangani Nota Serah Terima Tugas Pegawai Memerintah Batalion Ketiga dan Upacara Pemakaian Pangkat kepada pegawai dan anggota rejimen ini. Seramai 2 orang Pegawai dan 5 orang anggota LLP Sukarela telah dipakaikan pangkat oleh Komander Rej 505 AW. Acara perbarisan telah diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua pegawai, anggota dan kakitangan awam daripada rejimen ini serta acara Penamaan Monumen di padang kawad Markas Rejimen. 

Seterusnya, seluruh warga Rej 505 (AW) bersama-sama menikmati Jamuan Makan sempena HUT Ke-43 di Dewan Makan rejimen. Acara pulut kuning mejadi simbolik di atas kesyukuran Rej 505 AW menyambut HUT Ke-43 pada tahun ini. 

Terdahulu, turut diadakan majlis Bacaan Yaasin dan Tahlil sempena HUT rejimen pada 9 Feb 2023 bertempat di Surau Al-Watan, Kem Force 136. Rej 505 AW juga telah merangka beberapa aktiviti sempena sambutan HUT pada kali ini. Aktiviti tersebut termasuklah Hari Keluarga Rejimen dan Majlis Makan Malam Rejimental.

Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen 505 Askar Wataniah ini sejajar dengan Tonggak Kedua Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Keutuhan Organisasi yang mementingkan pembangunan angkatan yang berkualiti.

IMG 20230213 150217 414IMG 20230213 155312 577IMG 20230213 155317 748IMG 20230213 145013 706IMG 20230213 142254 806IMG 20230213 145159 454IMG 20230211 WA0037IMG 20230213 WA0069IMG 20230213 WA0017