Gelugor, Pulau Pinang: Lt Kol Hizral Kamal bin Othman Kamal, Timbalan Komander Rejimen 509 (AW) telah menyempurnakan Upacara Pembukaan bagi Kursus Anggota Repal Kelas 2 (Kerahan) Siri 2/2022 dan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Rejimen 509 (AW) Siri 2/2022 pada 25 Julai 2022 bertempat di Padang Kawad Batalion 1/509 (AW), Kem Batu Uban.
Seramai 55 orang penuntut Kursus Anggota Repal Kelas 2 (Kerahan) Siri 2/2022 serta 72 orang Perajurit Muda Sukarela telah terlibat dalam Upacara Pembukaan Kursus ini. Turut mengiringi dalam upacara pembukaan tersebut adalah para Pegawai Memerintah dan Penolong Pegawai Memerintah dari ketiga-tiga Batalion, Ketua-ketua Cawangan serta Sr. Harith Fadzillah bin Abd Khalid, Pengarah Politeknik Seberang Perai
Upacara telah dimulakan dengan tabik hormat ke atas Timbalan Komander Rejimen 509 (AW) serta lafaz perasmian bagi kedua-dua kursus tersebut. Dalam ucapan beliau, Yang Berbahagia Timbalan Komander Rejimen 509 (AW) telah menyeru agar semua penuntut kursus dapat menimba ilmu dengan sebaik mungkin agar ianya boleh dijadikan asas kecemerlangan khususnya dalam laluan kerjaya Askar Wataniah sama ada dari segi peluang untuk kenaikan pangkat mahupun tawaran untuk mengikuti kursus lanjutan di PUSWATAN. Semua ini sekaligus dapat menambahbaikkan lagi jumlah kekuatan dan kualiti modal insan kepada Rejimen ini
Pelaksanaan Kursus Anggota Repal Kelas 2 (Kerahan) dan Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) ini adalah sejajar dengan Direktif Latihan Panglima 6 Bgd serta hasrat kepada Perintah Ulung Tonggak PTD ke-28, Tonggak Pertama iaitu Kelangsungan Misi Dan Kesiagaan yang berorientasikan pelaksanaan latihan ketenteraan secara berterusan sesuai dengan pelan strategi pertahanan negara secara menyeluruh (HANRUH).