Sungai Besi: Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menyempurnakan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Tentera Darat, Pegawai Kanan Sukarela dan Tauliah Kehormat Askar Wataniah di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira Tentera Darat pada 18 Jul 22.

Brigedier Jeneral Dato’ (Dr) Rosman bin Ab Rahman telah dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral berkuatkuasa pada 18 Julai 2022 bagi menjawat jawatan sebagai Pengarah Perubatan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM).

Seterusnya, Kolonel Khairul Izan bin Muhammad Suffian dinaikkan ke pangkat Brigedier Jeneral berkuatkuasa pada 1 Julai 2022 dan bagi menjawat jawatan Panglima Grup Artileri Pertahanan Udara (GAPU).

Dua pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel yang dinaikkan pangkat ke Kolonel adalah Leftenan Kolonel Kamarularif bin Ramli yang dinaikkan berkuatkuasa pada 1 Julai 2022 diikuti dengan Leftenan Kolonel Haji Ayob bin Yahya yang dinaikkan pangkat berkuatkuasa pada 7 Jun 2022.

Majlis tersebut diteruskan dengan penganugerahan pangkat Kolonel (Sukarela) kepada Datuk Dr. Lim Teack Kiong, ahli perniagaan dari LTK Associates Realty Sdn. Bhd. yang dilantik sebagai Komander Rejimen 516 Askar Wataniah (AW).

Bagi penganugerahan Kolonel (Kehormat) pula, ianya didahului oleh Datuk Ir. Baharin bin Din, Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilantik sebagai Komander 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Dato’ Dr Ahmad Jailani bin Muhamed Yunus, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Pulau Pinang.

Ianya disusuli dengan penganugerahan Leftenan Kolonel (Sukarela) kepada dua penerima, penganugerahan Leftenan Kolonel (Kehormat) kepada seorang penerima, penganugerahan Mejar (Kehormat) kepada dua penerima dan diakhiri dengan penganugerahan Leftenan (Sukarela) kepada seorang penerima.

Mejar Jeneral Dato' (Dr) Rosman bin Ab Rahman telah mewakili semua pegawai yang dinaikkan pangkat bagi menyampaikan ucapan penghargaan terima kasih kepada pucuk kepimpinan tertinggi Tentera Darat Malaysia (TDM) di atas kepercayaan, pemakaian dan penganugerahan pangkat yang diberikan.

Manakala dalam ucapan balas Tan Sri PTD, beliau mengucapkan tahniah kepada semua yang telah dinaikkan pangkat dan menyeru agar lebih ramai masyarakat bukan Melayu menyertai TDM melalui Askar Wataniah selepas melihat peranan penting yang dimainkan oleh pasukan simpanan ketika negara berdepan pandemik COVID-19 mahupun ketika membantu mangsa bencana yang melanda negara.

Konsep pertahanan menyeluruh (HANRUH) harus difahami dan ditekankan kepada segenap masyarakat dan salah satu pendekatan yang terbaik adalah dengan menyertai pasukan Askar Wataniah.

Acara pemakaian pangkat ini bertepatan dengan Tonggak Ketiga Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu, “Pelestarian Kesejahteraan Warga” yang menekankan kepada aspek peningkatan pengiktirafan kepada warga di atas kecemerlangan bakti dan perkhidmatan yang dizahirkan.

Seluruh warga TDM turut mengucapkan sekalung tahniah kepada semua pegawai kanan Tentera Darat, pegawai sukarela dan tauliah kehormat Askar Wataniah yang dinaikkan pangkat pada hari ini.

           WhatsApp Image 2022 07 20 at 9.35.26 AM 2WhatsApp Image 2022 07 20 at 9.35.26 AM