Kuala Lumpur: Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain telah menerima 'mock cheque' sumbangan Program Titipan Kasih Harian Metro daripada Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamik Bank, Encik Nazlee bin Khalifah dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Encik Husain bin Jahit bertempat di Dewan Zulkifeli Zin, Wisma Perwira TD, Sungai Besi pada 13 Mei 2022.
Program Titipan Kasih Harian Metro anjuran Kumpulan New Straits Time Press (Malaysia) melalui Harian Metro dengan kerjasama Affin Islamik dianjurkan sebagai salah satu inisiatif khusus bagi menghargai komitmen petugas barisan hadapan anggota sukarela Askar Wataniah yang telah terlibat secara langsung dalam menghadapi pandemik COVID-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Seramai 371 anggota sukarela Askar Wataniah dari Semenanjung Malaysia telah menerima sumbangan dalam bentuk kotak rezeki yang mengandungi barang keperluan harian bernilai RM 200.00 dan wang tunai sebanyak RM 300.00 seorang yang telah dikreditkan ke dalam akaun setiap penerima.
Jumlah keseluruhan sumbangan adalah sebanyak RM 185, 500.00. Walaupun sumbangan telah diedarkan pada tahun lepas, namun simbolik penyerahan mock cheque tetap dilaksanakan seiring dengan tema hari Tentera Darat pada tahun ini iaitu “Kesejahteraan Keluarga Tentera Darat Diutamakan, Kedaulatan Negara Terjamin” serta bagi merapatkan perhubungan Tentera Darat dengan rakyat sejajar dengan Tonggak Kelima Perintah Ulung PTD Ke-28 iaitu “Peningkatan Hubungan Tentera Darat Dengan Awam”.
Walaupun pengorbanan para petugas barisan hadapan yang telah banyak menyumbangkan masa dan tenaga semasa PKP yang lepas tidak ternilai berbanding sumbangan yang diterima, namun diharapkan dengan sedikit imbuhan ini akan menjadi moral untuk anggota sukarela Askar Wataniah terus memberikan komitmen dalam bidang tugas masing-masing di masa hadapan kelak.