Kursus Asas Perajurit Muda Sukarela (APMS) Siri 1/2022 telah dilaksanakan mulai 31 Januari 2022 hingga 1 Mac 2022 bertempat di Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Tengah, Sg. Buloh, Bagan Datuk, Perak. Seramai 46 penuntut yang terdiri daripada 29 lelaki dan 17 wanita telah berjaya menyahut cabaran selama 30 hari menjalani kehidupan sebagai seorang Anggota Tentera dan menamatkan Kursus APMS Siri 1/2022 dengan jayanya.

APMS 3  APMS 1

Majlis Pembukaan Kursus APMS Siri 1/2022 telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota Dato’ Haji Meor Redwan bin Mahayudin, Orang Besar Jajahan Hilir Perak yang juga merupakan Ahli JAKPAW Negeri Perak pada 3 Februari 2022 manakala Majlis Penutup APMS Siri 1/2022 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Leftenan Kolonel Noorhezaam bin Che Murat, Timbalan Komander Rejimen 503 Askar Wataniah pada 28 Februari 2022. Kursus ini adalah julung kalinya dianjurkan oleh Batalion Ketiga, Rejimen 503 Askar Wataniah dengan kerjasama daripada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Bagan Datuk yang telah menyediakan kemudahan penginapan dan fasiliti sepanjang kursus dijalankan.

APMS 2 APMS 5 APMS 8

 APMS 9 APMS 10

Selama 30 hari, penuntut-penuntut kursus telah mempelajari kepelbagaian ilmu asas ketenteraan seperti kawad kaki, kawad senjata, pelajaran senjata, latihan menembak, latihan medan dan sukan. Latihan dan pelajaran ini telah dibimbing oleh Jurulatih-jurulatih Tetap dan Sukarela yang terlatih. Pendedahan ilmu ketenteraan ini dapat membentuk anggota yang mempunyai jati diri tinggi dari segi sikap, kemahiran dan pengetahuan sebagai seorang Anggota Tentera terlatih. Penuntut Terbaik telah dinobatkan kepada 6288845 PJM Nurul Ilmi bin Mohd Narawi yang telah berjaya mempamerkan mutu dan pencapaian cemerlang dalam kursus.

APMS 4 APMS 6 APMS 7

Secara kesimpulannya, kursus ini telah berjaya mencapai objektifnya iaitu membimbing dan memberi pendedahan kepada anggota Askar Wataniah dalam tugas dan tanggungjawab mereka sebagai seorang anggota Askar Wataniah yang terlatih di samping memberi pendedahan anggota Askar Wataniah kepada budaya kerja dan rutin kehidupan seorang Anggota Tentera terlatih. Kursus ini juga telah melatih anggota Askar Wataniah tentang asas dalam pelajaran Taktik, Ilmu Medan Perang (IMP), Baca Peta serta aktiviti-aktiviti rejimental di pasukan dan juga melatih anggota Askar Wataniah asas dalam pelajaran Kawad Kaki, Kawad Senjata dan pengendalian senjata individu. Akhir sekali, kursus ini memberi ilmu dan pengetahuan ketenteraan agar anggota Askar Wataniah mampu melaksanakan tugas serta berfungsi memainkan peranan sebagai seorang perajurit terlatih sekiranya dikerah sepenuh masa mengikut keperluan perkhidmatan tentera.

Rejimen 503 Askar Wataniah