George Town: Yang Teramat Mulia Brigedier Jeneral Dato' Seri Diraja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Komander Rejimen 509 Askar Wataniah telah perkenan untuk mencemar duli berangkat ke Majlis Makan Malam Rejimental (MMR) Rejimen 509 Askar Wataniah yang berlangsung di Setia SPICE Convention Centre pada 25 Mac 22.

Lt Kol Hizral Kamal bin Othman Kamal, Timbalan Komander Rejimen 509 Askar Wataniah bersama isteri, Puan Nur Hurul Ain binti Samsudin telah menyambut keberangkatan tiba Komander Rejimen di Pintu Masuk Utama sekaligus diperkenalkan kepada para tetamu jemputan khas yang hadir serta barisan pegawai Angkatan Tetap dan Sukarela dari ketiga-tiga batalion. Seramai 146 orang telah hadir di Majlis Makan Rejimental ini bersama pasangan masing-masing.

Majlis kemudian diteruskan lagi dengan Acara Memotong Pulut Kuning oleh Yang Teramat Mulia Tunku Komander bersempena dengan HUT ke-42 Rejimen. Sejurus selepas itu, majlis ini diteruskan lagi dengan Pelancaran Video Korporat Rasmi Rejimen 509 Askar Wataniah serta Perasmian Lagu dan Motto baru Pasukan iaitu 'Bersatu Unggul'.

Seterusnya, majlis ini diikuti pula dengan Penyampaian Cenderamata Pelancaran kepada Yang Teramat Mulia Tunku Komander oleh Timbalan Komander Rejimen 509 serta Cendera mata Penghargaan kepada Mejar (K) Tan Sri Dato' Seri Dato' Paduka Prof Dr Fng Ah Seng mewakili ahli-ahli Bukan Kerajaan Negeri JAKPAW di atas jasa dan komitmen berterusan dalam membantu Rejimen kepada pembangunan hal-ehwal Askar Wataniah di negeri Pulau Pinang.

Yang Teramat Mulia Tunku Komander telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga Rejimen yang telah bertungkus lumus dalam menjayakan MMR ini. Dalam titah ucapan, beliau berharap agar majlis seumpama ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang bagi memupuk lagi semangat setia kawan dalam merealisasikan sebuah Rejimen Askar Wataniah yang kredibel, cemerlang dan terbaik. Di akhir titah ucapan beliau juga, Yang Teramat Mulia Tunku Komander merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Rejimen di atas kejayaan pengurusan yang telah banyak mengharumkan nama pasukan khususnya dalam pelaksanaan Op PENAWAR di Pulau Pinang.

Pelaksanaan MMR ini merupakan kelangsungan tradisi rejimental dalam TD dan sejajar dengan Direktif Panglima 6 Bgd serta hasrat Perintah Ulung Tonggak PTD ke-28, Tonggak Kedua iaitu Memperkasakan Keutuhan Organisasi merangkumi Pengukuhan Kesepaduan Angkatan dan Pemerkasaan Jati Diri warga TD.

"Bersatu Unggul - Setia Bakti - Ungguli Sebarang Misi"

WhatsApp Image 2022 03 30 at 14.18.20 3WhatsApp Image 2022 03 30 at 14.18.21 3WhatsApp Image 2022 03 30 at 14.18.20 1WhatsApp Image 2022 03 30 at 14.18.20 4WhatsApp Image 2022 03 30 at 14.18.20 2WhatsApp Image 2022 03 30 at 14.18.21