PULAU PINANG: Timbalan Panglima Tentera Darat (TPTD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Mohammad Ab Rahman menyempurnakan Majlis Lafaz Pengisytiharan Pentauliahan dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam Ke-39 Zon Utara di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM) pada 7 Feb 2022. TPTD mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pegawai kadet yang berjaya ditauliahkan sebagai pegawai muda di dalam Rejimen Askar Wataniah (AW).

Seramai 182 Pegawai Kadet Zon Utara berjaya ditauliahkan setelah menamatkan pengajian di USM, Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Acara pemakaian pangkat ini dibahagikan kepada dua sesi yang disempurnakan sendiri oleh TPTD dan dibantu oleh Panglima Latihan Tentera Darat, Mej Jen Dato’ Nazari Abd Hadi. Majlis diakhiri dengan penyampaian Anugerah Kadet Terbaik USM, UUM, UniMAP dan UPSI di mana Pegawai Kadet ini dinilai keseluruhan daripada segi personaliti, kepimpinan, pengetahuan isu semasa serta penglibatan dalam PALAPES.

Pegawai Kadet Terbaik PALAPES USM telah dianugerahkan kepada Lt M Muhammad Badrul Amin Abdul Halim berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UUM dinobatkan kepada Lt M Raizazul Azfar Ruslan lulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Dengan Kepujian. Manakala Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UniMAP dianugerahkan kepada Lt M Arif Akmal Mohd Adnan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (Pemesinan) dan Pegawai Kadet Terbaik PALAPES UPSI pula diberikan kepada Lt M Nor Amira Khaleeda yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Ekonomi Rumah Tangga. Keempat-empat Pegawai Kadet Terbaik dianugerahkan Pedang Kehormat sebagai hadiah atas semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang menjalani latihan PALAPES.

Turut hadir, Pemangku Asisten Panglima Pasukan Simpanan, Brig Jen Padman K. P. Bashkaran, Komandan PALAPES USM, Kol (Kehormat) Prof. Dato’ Faizal Rafiq Muhammad Adikan, Timbalan Komandan PALAPES UniMAP, Lt Kol Prof. Ts Dr. Zaliman Sauli dan Komandan PALAPES UUM, Kol (Kehormat) Dato Dr. Ahmad Abdul Ghani.

            WhatsApp Image 2022 02 08 at 08.01.48 8WhatsApp Image 2022 02 08 at 08.01.48 15             

                          WhatsApp Image 2022 02 08 at 08.01.48 10 WhatsApp Image 2022 02 08 at 08.01.48 22