MENTERI BESAR PERAK DIPAKAIKAN PEGAWAI TAULIAH KEHORMAT ASKAR WATANIAH

KUALA LUMPUR, 4 Februari 2022 – Menteri Besar Perak, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad telah dipakaikan pangkat Brigedier Jeneral (Kehormat) dalam Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Tauliah Kehormat Askar Wataniah (AW) yang berlangsung pada hari ini.

Majlis tersebut yang disempurnakan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Yang Berhormat Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein telah diadakan di Ruang Perkasa, Wisma Pertahanan. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose bin Mohd Zain.

YAB Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad telah dianugerahkan Tauliah Brigedier Jeneral (Kehormat) dalam Angkatan Simpanan Persekutuan sebagai Penaung Jawatankuasa Pendukung Askar Wataniah (JAKPAW) Negeri Perak melalui Majlis Angkatan Tentera Ke-592 (MAT Ke-592) yang bersidang pada 23 Mac 2021.

Tugas dan tanggungjawab Penaung JAKPAW negeri ialah bertanggungjawab merancang segala program pembangunan Rejimen Pasukan-pasukan AW di negeri berkenaan, membantu peruntukan dan pembangunan kem-kem AW, membantu dalam promosi untuk pengambilan AW di negeri berkenaan dan menyalur bantuan kewangan secara berkala kepada pasukan AW di negeri berkenaan melalui JAKPAW negeri.

Seluruh warga TDM turut mengucapkan sekalung tahniah kepada YAB Dato’ Seri Haji Saarani bin Mohamad yang menerima anugerah Tauliah Kehormat. Semoga dengan anugerah dan pemakaian pangkat ini menjadi pemangkin semangat dalam melaksanakan tanggungjawab seharian mempertahankan kedaulatan negara.

                   Slide1 Slide2                      Slide4Slide5